Monday, 1 March 2010

Kilat

Entah. Kenapa hujan petang ini sangat menakutkan. Guntur, percikan kilat semua ada. Apakah maksud ini wahai teman.

Begitu juga hati aku ini. Guntur, gundah gulana, amarah dan kecewa. Hari ini aku mengharapkan sesuatu yang mampu menyebabkan aku berasa lega. tetapi sebaliknya. Betul. Tuhan itu maha adil. Kita merancang, Dia tentukan.

Walau apapun berlaku, aku terima dugaan Tuhan seadanya. Ada sesuatu yang lebih baik untuk aku agaknya. Yang penting aku kena yakin dan pasti beserta dengan iringan doa dan usaha.

Awas kepada kawan kawan diluar sana. Hujan lebat. Berhati hati ia..

~

Tuesday, 16 February 2010

Kembali Berkerja



Besok merupakan hari yang aku paling benci sebab, besok pagi aku kena menempuh sifat malas aku setelah bercuti lama. Aku perlukan mood rajin semula untuk menempuh hari hari yang semakin mencabar. Aku inginkan cuti yang panjang tanpa perlu memikirkan wang dan kerja kerja. Tapi sebagai manusia, kita ada tanggungjawab. Kita perlukan wang dan kerja untuk hidup.

Selamat bekerja wahai manusia.

~

Thursday, 11 February 2010

Limau

Minggu ini, limau di atas meja aku bersilih ganti. Sekejap ada yang manis, ada yang masam, ada yang kecil dan ada yang besar. Kepelbagaian limau ini menarik minat aku untuk mengarang sekali lagi sempena dengan Tahun Baru Cina.

Kepelbagaian rasa dan saiz limau ini membuatkan aku terpikir begitu juga manusia. Manusia penuh ragam, sifat dan emosi. Hampir setiap hari aku melayan karenah boss aku, penyelia thesis aku, kawan kawan dan begitu juga ahli keluarga aku. Penat tapi menarik. Tanpa manusia yang sebegini, tidak indahlah dunia.

Sempena dengan Tahun Baru Cina ini, aku mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada kawan kawan aku yang menyambutnya. Marilah kita sama sama menghayati konsep pemberian limau ketika perayaan ini. Ianya mampu mengeratkan lagi hubungan sesama kita. Jangan gaduh, bercerai kita roboh. Marilah kita bersatu padu.

Selamat Tahun Baru Cina! Harimau ku gagah berlari!

~

Saturday, 6 February 2010

Sempurnanya Cinta Itu

Indahkah bercinta. Aku berfikir, kalau cinta itu indah kenapa ada yang sanggup mati untuk cinta, sakit untuk cinta dan merana untuk cinta. Kalau ia nya benar indah, kenapa mesti mati, sakit dan merana. Cinta itu buta dalam mengejar cinta yang sempurna.

Sebelum minggu ini berakhir, aku telah disoal oleh rakan sekerja aku.

"pernah bercinta tak?"

Aku jadi pitam bila disoal dengan soalan macam itu. Soalan itu adalah antara soalan maut selain daripada ditanya,

"bila nak kahwin?"

Dengan cepat aku memutar belitkan situasi supaya soalan itu tadi diabaikan. Tak tahu nak jawab macam mana. Tapi bila aku ingat balik, sempurnakah cinta itu jika ia nya hanya ditabur dengan rasa marah, cemburu dan dikaburi dengan duit.

Tak sanggup aku berhabisan duit semata mata mengejar cinta yang tak pasti. Biarlah cinta itu datang sendiri dan kalau benarlah insan itu ditakdirkan bersama aku, aku sanggup tunggu. Cinta tidak boleh dipaksa. Begitu juga kita sebagai manusia.

Manusia ditakdirkan berpasangan dan kita harus yakin, pasti ada insan yang sempurna untuk kita suatu hari nanti. Biar cinta itu lambat, asal selamat. Selain daripada itu, aku dikelilingi oleh semua insan yang mementingkan kerjaya dan ia nya sedikit sebanyak mempengaruhi aku dalam mencari cinta. Kerjaya itu pertama dan cinta itu adalah seterusnya dan seterusnya juga.

Mata semakin rapat. Baik aku tidur, sebab besok aku nak pergi ke Gereja untuk menemui cinta sejati dan sempurna. Cinta kepada Tuhan. Sempurnanya cinta itu.

~

Wednesday, 3 February 2010

Terima Kasih & Syukur

Berterima kasih dan bersyukur adalah salah satu cara aku untuk menghargai pemberian dan pertolongan orang lain terhadap aku. Hari ini, sekali lagi aku berjaya menghampiri penamat untuk menghabiskan penulisan penyelidikan aku dimana ia nya bermula daripada November tahun lepas.

Perbincangan dengan penyelia projek pada hari ini sangat memberansang dimana beliau amat berpuas hati dengan satu bahagian dalam penulisan aku. Sekali gus ia nya membangkitkan semangat aku untuk menyelesaikan perjuangan yang belum selesai ini.

Aku bersyukur kerana aku telah berjaya ke sampai tahap ini walaupun agak lewat berbanding dengan rakan rakan seperjuangan aku yang lain. Aku juga berterima kasih kepada penyelia projek aku yang semakin hari semakin memberi kerjasama yang baik. Semoga Tuhan murahkan rezeki beliau.

Terima kasih dan syukur.

~

Tuesday, 2 February 2010

Kemalangan

Dalam perjalanan pulang setelah mengajar kelas tambahan di sebuah rumah di Bangi, aku terlibat dengan satu kemalangan. Ketika itu hujan lebat. Penglihatan aku samar.

Tanpa aku sedari, ada pokok tumbang dan menghalang perjalanan kenderaan aku. Hendak aku berundur, aku kena tunggu kereta dibelakang berundur dahulu. Aku memberi lampu tinggi dan tidak disangka, ada insan malang yang cedera di sebalik pokok yang tumbang itu. Melambai lambai ke arah kereta aku dan yang lain.

Ketika itu tidak ada seorang pun yang sanggup keluar untuk memberi bantuan. Aku gagahkan diri keluar dan mengetuk tingkap kereta seorang wanita di sebelah kereta aku.

" akak, ada orang disebalik pokok yang tumbang itu, tengah cedera."

akak itu menjawab,

" akak nak pusing nak ikut jalan lain" terus tutup tingkap automatiknya dan terus beredar.

Aku yang sudah kebasahan kuyup terus beredar ke kereta lain untuk memohon bantuan.

" pak cik! ada orang cedera di sebalik pokok itu. Dia tak dapat bangun. Parah."

pakcik itu menjawab,

" ye ek. btul ke? cina? india? melayu?"

Aku terus terkesima mendengar pak cik itu berkata demikian. Dalam masa genting, dia masih sempat untuk memikirkan bangsa apakah dulu sebelum memberi bantuan.

Kereta semakin banyak dibelakang dan motor ada yang lalu lalang begitu saja. Nasib baik ada pasangan yang sanggup membasahkan diri juga untuk memberi bantuan bersama aku yang sudah macam ayam kebasahan. Pasangan tersebut menelefon ambulan dan aku memastikan insan malang tersebut tidak pengsan dan tidur.

Hujan berhenti dan manusia semakin ramai. Semua orang mengaku menyelamatkan insan malang itu. Dan disebalik kesesakan itu, aku mula beredar. Ambulan sampai dan dalam keadaan basah, aku balik ke rumah.

Dalam perjalanan pulang, aku terpikir. Bagaimanakah kalau aku yang cedera parah. Akan mati katak kah aku dan akan ada pula orang akan menyoalkan bangsa apakah aku sebelum memberi bantuan.

Aku sedih ada lagi rakyat Malaysia begini.

~

Monday, 1 February 2010

Aku Penat

Mungkin Tuhan tengah menduga aku ketika ini. Bersangka baik dengan dugaanNya adalah jalan terbaik untuk memotivasikan diri sendiri. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku yakin suatu hari nanti Tuhan akan bagi yang terbaik untuk aku dengan berbekalkan azam, semangat dan usaha yang kuat. Tuhan itu mahal adil bagi orang yang mempercayaiNya.

Permulaan blog ini, bukanlah untuk memohon simpati tetapi ia nya sekadar tempat aku untuk meluahkan rasa kepenatan dan emosi yang sentiasa bergelodak dengan kehendak berbanding dengan keperluan.

Oleh kerna aku manusia dan bukan robot, aku punya emosi untuk dikongsi bersama agar ia nya mampu meregangkan tekanan dunia yang sentiasa dialami oleh setiap insan.

~